BANGI, 15 Jun - Pengerusi Kelab Bola Tampar Helang J4, Dr. Arif Nasar Sulaiman menyifatkan penganjuran sulung Kejohanan Bola Tampar Remaja Piala Trone Bawah 14 Tahun 2025 sebagai satu kejayaan besar berikutan sambutan yang sangat menggalakkan.
Sebanyak 24 pasukan dari enam negeri iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Pahang dan Selangor telah menyertai kejohanan ini, dengan penyertaan tertinggi dari negeri Selangor.
''Bakat-bakat bola tampar di seluruh negara sebenarnya sangat besar. Saya lihat tahap permainan amat tinggi dan saya percaya kita mampu bersaing sekurang-kurangnya di peringkat Asia Tenggara terlebih dahulu. Itu seharusnya menjadi sasaran pertama kita,'' katanya.
Pasukan Hawks dari Pahang dinobatkan sebagai juara kategori lelaki dalam Kejohanan Bola Tampar Remaja Piala Trone Bawah 14 Tahun 2025, manakala gelaran juara bagi kategori perempuan dimenangi oleh pasukan Spring Fox dari Selangor.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari yang bermula semalam itu merupakan edisi pertama yang dianjurkan oleh Kelab Bola Tampar Helang J4.
Dalam pada itu, Arif turut menyatakan bahawa sukan bola tampar mempunyai potensi besar dalam kalangan remaja berdasarkan mutu permainan yang dipamerkan oleh setiap pasukan.
Katanya, kejohanan tersebut akan diteruskan dan merancang untuk menganjurkannya sekurang-kurangnya sekali setahun bagi memastikan pembangunan bakat bola tampar remaja di seluruh negara terus diperkasa.