SANDAKAN, 17 Oktober - Aksi ragbi di Sabah terus hangat hujung minggu ini apabila kejohanan KARA7s membuka tirainya semalam.
Ia merupakan penyertaan tertinggi yang melibatkan 60 buah pasukan keseluruhan dari seluruh negara yang bersaing dalam tujuh kategori yang dipertandingkan.
Selepas kejayaan penganjuran acara ragbi dalam Sukan Sabah (SAGA) yang berakhir minggu lalu, kelibat pengadil ragbi Sabah terus ditagih bagi memastikan kelancaran sukan yang terkenal menguji ketahanan fizikal para pemainnya.
Penyelaras pengadil, Ahmad Nazirul Muiz Azmi berkata, antara fokus kejohanan kali ini adalah keselamatan pemain yang terdiri daripada pelajar dan murid-murid berumur 17 tahun ke bawah.
“Keselamatan pemain adalah keutamaan kami dan memandangkan kecederaan boleh mendatangkan kesan jangka panjang.
Kita tidak mahu kehilangan bakat-bakat baharu terutama yang berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Tambah beliau, para pengadil yang bertugas juga perlu menyiapkan diri untuk memberi respon pantas jika berlaku kecemasan serta cakna dengan situasi sekeliling bagi memastikan keselamatan pemain dipelihara.
Sebelum ini Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) menyatakan hasrat untuk memperketat aspek keselamatan dan perubatan dalam setiap kejohanan di seluruh negara susulan kejadian tragis melibatkan seorang pelajar.
Tragedi itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan komuniti sukan ragbi mengenai tahap kesiapsiagaan perubatan di kejohanan terutama yang melibatkan remaja dan pelajar sekolah.
Kara7s dianjurkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Tinusa bertujuan bagi mencungkil bakat-bakat baharu di peringkat akar umbi.
Sebanyak tujuh kategori dipertanding melibatkan pasukan lelaki dan perempuan bagi kategori di bawah umur 16 tahun, 14 tahun dan 12 tahun bagi sekolah rendah dan menengah.
Kejohanan berlangsung dari 16 Oktober hingga 18 Oktober bertempat di Kelab Ragbi Eagles, Sandakan.