PRAGUE, 18 Oktober - Lagenda rali Perancis, Sebastien Ogier mendahului rakan sepasukan Toyota, Kalle Rovanperä dari Finland dengan kelebihan tipis 0.6 saat pada hari pertama perlumbaan Rali Eropah Tengah, Jumaat.
Selepas lapan peringkat perlumbaan, pelumba Britain Elfyn Evans berada di tempat ketiga, menjadikan Toyota menguasai kedudukan teratas carta keseluruhan.
Pelumba Estonia, Ott Tänak yang mewakili pasukan Hyundai pula menamatkan saingan hari pertama di tempat keempat.
Sepanjang hujung minggu ini, para pelumba bakal menempuh hampir 312 kilometer di atas permukaan asfalt merentasi 18 peringkat perlumbaan di Jerman, Austria dan Republik Czech yang terkenal dengan keadaan cuaca tidak menentu.-REUTERS