fb fb fb fb fb

Kanada hampiri Piala Dunia selepas 36 tahun

FOTO AFP

HAMILTON, 31 Januari- Kanada semakin hampir ke Piala Dunia selepas 36 tahun apabila menang 2-0 mengatasi Amerika Syarikat (AS) pada kelayakan CONCACAF.

Gol Cyle Larin selepas tujuh minit dan cubaan pada masa kecederaan oleh Sam Adekugbe memastikan tiga mata buat Kanada diperoleh di Tim Hortons Field di sini, seterusnya memberi kelebihan pasukan itu dalam kedudukan CONCACAF.

Kanada yang masih belum tewas kini mengumpul 22 mata berbaki empat perlawanan, mendahului AS dengan empat mata yang memungut keseluruhan 18 mata.

Kanada muncul sebagai pakej mengejutkan dari zon kelayakan Amerika Tengah, Amerika Utara dan Caribbean serta berpeluang mara ke Piala Dunia buat kali kedua selepas Mexico 1986.

"Kami bertukar kepada negara bola sepak," kata jurulatih Kanada dari England, John Herdman.

"AS adalah pasukan hebat, pasukan yang sangat bagus, mereka mempamerkan kualiti hebat hari ini. Tapi kami menandingi semangat mereka.

"Dan itulah yang saya katakan kepada pemain kami - kami juga ada kualiti tersendiri, dan ia hadir kali ini." katanya.

Penjaring gol, Larin mengakui layak ke Piala Dunia boleh dicapai mereka.

"Kami semakin hampir," katanya. "Tapi ia belum tamat. Kami akan terus bertarung."

Mexico berada di tangga ketiga dalam kedudukan dengan AS selepas seri 0-0 dengan Costa Rica di Mexico City pada Ahad.

Tiga pasukan teratas bakal layak secara automatik beraksi di Qatar dengan pasukan di tangga keempat akan beraksi pada perlawanan playoff.- AFP

Media Baharu