KUALA LUMPUR, 13 Disember - Harapan Malaysia untuk menamatkan Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki (JWC) 2023 di tempat kesembilan musnah, selepas tewas kepada Belgium 5-3 dalam penalti shoot-out di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil di sini hari ini.
Dengan kekalahan itu, Young Tigers terpaksa akur untuk beraksi pada penentuan tempat 11-12, bertemu New Zealand pada Jumaat ini manakala Belgium akan berdepan Afrika Selatan dalam penentuan tempat 9-10 pada hari sama.
Aksi klasifikasi 9-12 hari ini menyaksikan anak buah Muhamad Amin Rahim mendominasi permainan, dengan melancarkan serangan bertali arus namun gagal memanfaatkan peluang menyempurnakan pukulan sudut penalti yang diterima.
Belgium kemudian berjaya menggunakan kelebihan beraksi menentang 10 pemain selepas Che Nur Aqirullah Che Mohd dilayangkan kad hijau, untuk mendahului menerusi jaringan padang Max Luyten pada minit ke-28.
Memasuki separuh masa kedua, permainan terpaksa ditangguhkan kira-kira 40 minit berikutan hujan lebat, sebelum gawang Malaysia sekali lagi dibolosi menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Hugo Labouchere sebaik perlawanan bermula pada minit ke-36.
Tersentak dengan jaringan itu, Young Tigers memperkemas permainan dan Muhammad Adam Ashraf Mohd Johar berjaya meledak jaringan padang pada minit ke-37, sebelum Mohammad Harris Iskandar Osman menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-51.
Malaysia dan Belgium kemudian saling berbalas serangan untuk memburu jaringan, namun kedua-duanya terikat 2-2 yang mengheret kepada penentuan menerusi pukulan penalti.
Pasukan pelawat kendalian Jeroen Baart ternyata lebih unggul untuk menoktahkan kemenangan 5-3 menerusi penjaring Guillermo Hainaut, Lucas Putters, Victor Foubert, Boris Feldheim dan Nicolas Bogaerts.
Tiga jaringan Malaysia pula disempurnakan Muhamad Faris Harizan, Mughni Kamal dan Shahmie Irfan Suhaimi manakala Liau Alfarico gagal menyudahkan pukulan terakhir Young Tigers.
Dalam pada itu, meskipun gagal dalam misi memburu tempat kesembilan, Muhammad Amin memuji persembahan ditampilkan anak buahnya yang mampu memberi tentangan sengit dari segi serangan dan pertahanan.
“Pujian kepada pemain yang telah menunjukkan serangan dan pertahanan yang baik. Sepanjang 60 minit kita tetap menyerang, walaupun dibolosi 2-0 dan kita kembali untuk menyamakan kedudukan saya rasa ia usaha bagus daripada pemain,” katanya pada sidang media selepas perlawanan tersebut.
Terdahulu, satu lagi aksi klasifikasi 9-12 menyaksikan Afrika Selatan menundukkan New Zealand 4-3, juga menerusi penentuan pukulan penalti selepas terikat 3-3 dalam 60 minit perlawanan.
Afrika Selatan memperoleh gol menerusi pukulan penalti (minit ke-34) dan jaringan padang (minit ke-49) Hans Neethling dan pukulan sudut penalti Ayakha Mthalane (minit ke-40) manakala penentuan pukulan penalti mereka disempurnakan Hans sebanyak dua kali, Cameron Le Forestier dan Dan Neuhoff.
Jaringan New Zealand pula dihasilkan menerusi jaringan padang Aiden Bax (minit ke-11), pukulan sudut penalti Sam Lints (minit ke-13), dan jaringan padang James Hickson (minit ke-34), manakala pukulan penentuan penalti disempurnakan Joshua Irwin, Jonty Elmes dan Patrick Ward. - BERNAMA