TURIN, 12 November - Juventus melonjak ke tangga teratas Serie A selepas berjaya menewaskan Cagliari 2-1 di laman sendiri.
Dua gol menerusi pertahanan, Gleison Bremer dan Daniele Rugani pada separuh masa kedua memberikan kemenangan kelima berturut-turut buat skuad yang digelar 'The Old Lady' itu.
Pada perlawanan itu, tuan rumah terlebih dahulu mempunyai peluang bagi menjaringkan gol awal menerusi percubaan Fedrico Chiesa namun berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Cagliari, Simone Scuffet.
Juventus yang dilihat mendominasi permainan pada babak pertama sekali lagi berpeluang menguji kekebalan benteng Cagliari apabila rembatan Filip Kostic daripada sudut sukar berjaya dinafikan Scuffet sekali lagi.
Usaha Juventus bagi memecahkan kebuntuan gol akhirnya berhasil pada minit ke-60 apabila Bremer berjaya menanduk masuk hantaran lintang Kostic sebelum Rugani menggamatkan stadium Turin dengan gol kedua pada minit ke-70.
Cagliari yang sesekali mendapat peluang berjaya menjaringkan gol tunggal pada minit ke-75 menerusi pemain pertahanan, Alberto Dossena menerusi tandukan hasil sepakan sudut.
Sementara itu, pengendali Juventus, Masimiliano Allegri menyifatkan masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki oleh anak-anak buahnya bagi memburu kejuaraan.
"Kami bernasib baik gol terakhir yang dijaringkan Cagliari tidak relevan. Kami perlu lebih efektif.
"Para pemain sangat luar biasa. Mereka tahu mereka perlu menang dan bermain seperti hari ini. Kami lebih mantap berbanding di awal musim", kata Allegri kepada DAZN.
Juventus yang belum tewas setakat ini berada di persada liga dengan 29 mata, satu mata di atas Inter Milan yang bakal melayani kunjungan Frosinone hari ini (Ahad).
Sementara itu, Cagliari menduduki tangga ke-17 satu mata di atas zon penyingkiran-REUTERS