fb fb fb fb fb

Jun Hao mahu kekalkan momentum selepas Piala Sudirman

Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Mei - Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao, mahu menjadikan aksi cemerlang di pentas Piala Sudirman sebagai pemangkin untuk tampil lebih konsisten dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF yang akan datang.

Jun Hao, yang berada di ranking ke-24 dunia, mencuri perhatian apabila berjaya mengejutkan pemain nombor lapan dunia dari Jepun, Kodai Naraoka, dalam aksi peringkat kumpulan di Xiamen minggu lalu.

Meskipun Malaysia tewas 2-3 dalam pertemuan itu, persembahan Jun Hao tetap mendapat pujian.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan prestasi di Piala Sudirman. Ketika bertemu Kodai, saya rasa lebih tenang dan dapat bermain dengan baik, terutama dalam mata-mata penting,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini.

Bagaimanapun, pemain berusia 25 tahun itu tidak mampu meneruskan rentak cemerlang apabila tewas kepada pemain nombor satu dunia, Shi Yuqi dari China, dalam aksi suku akhir yang menyaksikan Malaysia akur dengan kekalahan 0-3 kepada tuan rumah.

“Saya belajar banyak daripada perlawanan itu, bagaimana dia berjaya menyekat kekuatan lawan dan mengawal permainan,” ujarnya.

Sementara itu, Jun Hao, berkata beliau kini semakin serasi dengan pendekatan latihan diterapkan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan, Kenneth Jonassen, yang mula menggalas tanggungjawab itu sejak awal tahun ini.

“Saya tidak bermula dengan baik musim ini, tetapi sejak kebelakangan ini prestasi semakin baik dan keyakinan saya turut meningkat.

"Masih banyak ruang untuk diperbaiki, tetapi sasaran saya adalah untuk tampil konsisten dalam setiap kejohanan selepas ini,” katanya.

Jun Hao dijadualkan kembali beraksi dalam Jelajah Dunia bermula dengan Terbuka Thailand (13–18 Mei), diikuti Masters Malaysia (20–25 Mei), Terbuka Singapura (27 Mei–1 Jun) dan Terbuka Indonesia (3–8 Jun).

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD