fb fb fb fb fb

Juara Olimpik Jerman, Laura Dahlmeier maut ketika mendaki gunung

Jurucakap Kerajaan Tempatan, Faizulah Faraq

ISLAMABAD, 31 Julai – Dunia sukan dikejutkan dengan pemergian Laura Dahlmeier, juara Olimpik dua kali dalam acara biathlon yang disahkan terkorban ketika mendaki gunung, di Pakistan.

Menurut pengurusnya dan pihak berkuasa tempatan, Dahlmeier, 30 tahun maut selepas dihempap runtuhan batu secara tiba-tiba ketika mendaki bersama rakannya di Lembah Hushe, wilayah utara Gilgit-Baltistan.

Operasi menyelamat yang dibantu oleh tentera Pakistan, pada awalnya sukar dijalankan akibat cuaca buruk, sehingga helikopter tidak dapat mendarat di lokasi kejadian.

Dahlmeier pernah menyatakan secara bertulis bahawa jika berlaku kemalangan, beliau tidak mahu sebarang usaha berisiko dilakukan untuk membawa pulang jasadnya dan mahu tubuhnya ditinggalkan di gunung.

Sementara itu, Jurucakap kerajaan tempatan, Faizulah Faraq, menyatakan pasukan mencari "gagal mengesan sebarang isyarat" ketika tiba di kawasan tersebut

Menurutnya lagi, pihak berkuasa menghormati keputusan keluarga Dahlmeier dan tidak akan meneruskan sebarang operasi pengambilan jasad.

Dilahirkan di bandar ski Garmisch-Partenkirchen, Bavaria, Dahlmeier dikenang sebagai salah seorang atlet biathlon terbaik Jerman dan pernah merangkul dua pingat emas Olimpik serta beberapa kejuaraan dunia.

Pemergiannya turut mendapat penghormatan daripada Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) serta Perdana Menteri Bavaria, yang menyifatkannya sebagai ikon sukan yang tiada gantinya.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN