fb fb fb fb fb

Izzat Shameer dan Sin Li Jane dinobat Olahragawan dan Olahragawati Perak 2023/2024

Majlis Anugerah Sukan Negeri Perak 2023/2024

IPOH, 31 Julai - Atlet boling padang kebangsaan, Izzat Shameer Dzulkeple dan atlet tenpin boling kebangsaan, Sin Li Jane dinobat sebagai Olahragawan dan Olahragawati Perak 2023/2024.

Kedua-dua atlet tersebut membawa pulang blazer, piala pusingan dan wang tunai berjumlah RM7,000 yang disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Perak 2023/2024 di sini, malam tadi.

Pada September tahun lalu, Izzat Shameer mencipta sejarah apabila berjaya menduduki kedudukan nombor satu dunia mengenepikan cabaran atlet Scotland, Stewart Anderson dan atlet Australia, Aron Sheriff yang ketika itu berada di tempat kedua dan ketiga.

Manakala, bagi Sin Li Jane pencapaian itu merupakan kejayaan kali kelima setelah memenangi anugerah sama pada tahun 2008, 2012, 2013/2014 dan 2017/2018.

Dalam majlis sama, Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Harapan diberikan kepada atlet bola tampar pantai, Low Jeng Yih dan atlet renang, Joelle Chan Zu-ee.

Mohammad Yusof Hafizi Shaharuddin dan Nur Suraiya Muhammad Zamri dari sukan berbasikal pula dinobat sebagai Atlet Terbaik Para Lelaki dan Wanita.

Bagi Anugerah Jurulatih Terbaik diberikan kepada Hishamuddin Mohd Zaki dari sukan berbasikal, Anugerah Pasukan Terbaik kepada pasukan sepak takraw Perak Bison dan Anugerah Kepimpinan Sukan kepada Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Dalam pada itu, penyampai radio Perakfm, Mohd Fitri Azman dan wartawan Bernama, Razif Rosli menerima Anugerah Media.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN