fb fb fb fb fb

Gyokeres bakal beraksi menentang Tottenham di Hong Kong

Foto AFP

HONG KONG, 30 Julai - Viktor Gyokeres mungkin akan membuat penampilan sulungnya bersama Arsenal dalam pertembungan derby utara London minggu ini di hadapan 50,000 peminat Hong Kong, kata pengurus Mikel Arteta pada Rabu.

Penyerang Sweden bernilai AS$67 juta itu menyertai sesi latihan terbuka di Stadium Kai Tak, venue Arsenal akan menentang Tottenham pada hari Khamis dalam pertemuan sulung dua seteru ketat itu di luar UK.

Gyokeres baru menyertai Arsenal dalam jelajah Asia mereka tiga hari lalu selepas menandatangani kontrak dari Sporting Lisbon, akan diberi peluang bermain sekiranya pasukan perubatan kelab merasakan dia sudah bersedia, kata Arteta.

"Ya, saya faham dia hanya menyertai sesi hari ini dan sedikit semalam, kami akan menilai keadaannya malam ini, dan jika pasukan perubatan berpuas hati dengan tahap kecergasannya untuk bermain esok malam, ia satu kemungkinan. Untuk pemain lain dalam skuad, semuanya OK." kata Arteta kepada pemberita.

Gyokeres, 27, mengetuai Sporting menjuarai liga Portugal musim lalu dengan 39 gol dan mencuri perhatian dunia apabila menjaringkan hatrik Liga Juara-Juara menentang Manchester City.

Penyerang itu memilih untuk memakai jersi nombor 14 yang pernah disarung oleh legenda Arsenal Thierry Henry, telah menjaringkan 97 gol dalam 102 perlawanan bersama kelab Portugal tersebut.

Dia menyertai Arsenal dengan kontrak lima tahun yang boleh mencecah sehingga AS$89 juta termasuk tambahan berdasarkan prestasi.

Ketibaannya menjadikan jumlah perbelanjaan Arsenal sepanjang musim perpindahan ini mencecah kira-kira AS$267 juta.

Mereka juga telah menandatangani pertahanan Cristhian Mosquera, pemain tengah Martin Zubimendi, penjaga gol Kepa Arrizabalaga, pemain tengah Christian Norgaard dan penyerang Noni Madueke.

Arteta jelas berpuas hati dengan urus niaga yang dilakukan kelab dalam jendela perpindahan setakat ini ketika dia berusaha menjadi pengurus pertama Arsenal yang memenangi Liga Perdana Inggeris sejak Arsene Wenger pada musim 2003/04.

"Saya amat gembira dengan cara kami menangani jendela perpindahan ini dan bagaimana agresifnya kami," kata Arteta, yang telah menamatkan musim sebagai naib juara Liga Perdana selama tiga musim berturut-turut.- AFP

AZRUL FAIZAL JUSOH