fb fb fb fb fb

Johor sasar kedudukan tiga terbaik SUKMA 2026

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah

JOHOR BAHRU, 8 Jun - Johor meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok tiga terbaik pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang dijadual berlangsung pada Ogos tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, semua persatuan sukan telah diminta untuk membuat persiapan awal bagi menghadapi temasya tersebut.

“Saya telah meminta semua persatuan agar tidak menunggu arahan untuk memulakan persediaan. Seperti ditekankan kerajaan negeri, kita perlu menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam aspek pembangunan atlet dan hab sukan.

“Sasaran kita sudah tentu berada dalam kelompok tiga terbaik, tetapi jika muncul juara, itu adalah satu bonus,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Ibadah Korban Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin di sini, hari ini.

Sebelum ini, Johor muncul juara keseluruhan SUKMA 2022 buat julung kalinya dalam sejarah temasya itu selepas meraih 77 pingat emas.

Dalam perkembangan lain, Mohd Hairi turut menjelaskan, pelbagai acara sukan bertaraf antarabangsa bakal diadakan di negeri itu termasuk Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor.

Beliau berkata Johor komited untuk menjadi sebuah 'Sport Nation' menjelang 2030, selaras dengan titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, semasa pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, baru-baru ini.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE