KUALA LUMPUR, 8 Jun - Jaguh muay thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib kini semakin hampir mencapai impian untuk menjadi juara dunia kategori strawweight dalam ONE Championship.
Matlamat itu semakin menjadi realiti apabila dijangka menentang juara dunia semasa, Prajanchai PK Saenchai dalam pertarungan akan datang.
Perkembangan terkini tersebut muncul selepas Aliff, 21, meraih kemenangan keempat berturut-turut dalam ONE Championship apabila menewaskan wakil Maghribi, Elmehdi El Jamari dalam ONE Fight Night 32 yang berlangsung di Stadium Lumpinee, Bangkok pada Sabtu.
Lebih membanggakan, Aliff memperoleh kemenangan tersebut walaupun beraksi dalam keadaan kesihatan yang kurang memuaskan, namun tetap mempamerkan persembahan yang konsisten sepanjang tiga pusingan sebelum diumumkan menang menerusi keputusan sebulat suara.
Peluang bertemu Prajanchai dianggap sebagai satu penghormatan yang besar oleh Aliff, yang kini telah merekodkan lapan kemenangan daripada 10 pertarungan sejak menyertai ONE Championship pada April 2023.
Dalam pada itu, Prajanchai yang turut berada di venue pertarungan semalam, turut memberi respon yang sama dan menyifatkan pertembungan menentang Aliff sebagai satu penghormatan yang besar.