fb fb fb fb fb

Johor raih 5 emas dalam sukan kayak

PUTRAJAYA, 19 September - Kontinjen Johor mencipta sensasi di Kompleks Sukan Air, Presint 6, di sini apabila menamatkan saingan kayak dengan meraih lima pingat emas daripada enam yang dipertandingkan semalam.

Bukan itu sahaja, lima rekod baharu kebangsaan berjaya dicipta oleh atlet negeri tersebut.

Dalam saingan tersebut lima pingat emas Johor diraih menerusi acara Kayak individu (K1) 1000 meter lelaki, K4 1000 meter lelaki, Double K2 1000 meter lelaki, Double K4 1000 meter wanita dan K4 1000 meter wanita.

(Aksi saingan kayak di Kompleks Sukan Air, Presint 6)

Bagi pemenang pingat emas Individu K1 1000 meter dan K4 1000 meter, Montoya Raw Ak Michael kejayaan tersebut amat mengembirakannya.

"Kita akan bersedia menyumbang untuk Johor. Kami tidak ambil kisah kata mengenai perkara lain. Kami cuma fokus kepada kumpulan sendiri dan akan terus pandang ke depan," kata Montoya Raw Ak Michael di sini.

Beliau turut menamatkan dua acara tersebut dengan rekod baharu kebangsaan iaitu 3 minit 51. 505 saat bagi acara Individu K1 1000 meter dan 3 minit 15. 961 saat untuk acara K4 1000 meter.

Dalam saingan acara double K2 1000 meter lelaki, pingat emas diraih menerusi gandingan Ahmad Ariiff Rasydan dan Muhammad Fakhrullah Mohd Rumaize yang turut mencipta rekod baharu kebangsaan.

Kecemerlangan mereka diteruskan oleh pasangan Farah Zulaika Tokiman dan Nur Aina Ilyia Rahim yang menghadiahkan pingat emas dan rekod baharu kebangsaan dalam acara Double K4 1000 meter wanita.

Skuad Kayak Johor menutup tirai saingan hari ini dengan emas kelima menerusi acara K4 1000 meter wanita yang dibarisi Norkiasah Zaenuddin, Nur Atasha Nabila Saring, Nur Syahirah Fuad dan Nurul Najieha Zulkifli.

Mereka turut mencipta rekod baharu kebangsaan.

Media Baharu