fb fb fb fb fb

Johor Khabib Gym pacu hab sukan bertaraf dunia

Pemangku Sultan Johor sempurnakan Majlis Pecah Tanah Johor Khabib Gym - Foto FB The Royal Johor

ISKANDAR PUTERI, 18 November - Projek pembinaan Johor Khabib Gym di Tunku Mahkota Ismail Youth Center (TMIYC), bukan sekadar pembangunan infrastruktur, tetapi selari aspirasi membentuk generasi belia berdisiplin dan mewujudkan hab sukan moden bertaraf dunia.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kualiti modul latihan di gimnasium itu akan dipastikan berada pada tahap tertinggi melalui bimbingan team Khabib yang terdiri daripada jurulatih profesional seni mempertahankan diri.

“Kerjasama ini akan menyediakan atlet Johor dengan akses kepada teknik, disiplin dan bimbingan di peringkat antarabangsa, menggunakan asas yang sama membentuk juara dunia. Dengan kepimpinan dan visi Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, kami yakin Johor akan kekal di barisan hadapan inovasi sukan dan pembangunan belia di Johor dan seterusnya" katanya.

Gimnasium yang berkeluasan 37 ribu kaki persegi itu dilengkapi gelanggang octagon, ruang pertarungan, dewan serbaguna dan mampu menampung sehingga 1,000 orang.

Bekas juara dunia UFC yang juga Duta Sukan Johor, Khabib Nurmagomedov, turut menyatakan kegembiraan atas pembinaan gim berkenaan

Beliau memuji visi Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang menekankan pendidikan serta pembangunan karakter belia.

“Suatu hari nanti saya berharap projek ini akan melahirkan ramai anak muda, insan baik, terpelajar dan kuat melalui gim ini. Itu harapan terbesar saya dan antara sebab utama saya membuka Khabib Gym di Johor.”

Majlis Pecah Tanah Johor Khabib Gym disempurnakan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail. Turut hadir barisan Exco Kerajaan Negeri, Duta Sukan Johor Datuk Seri Lee Chong Wei dan Sonny Bill Williams.

MOHD ZAMBRI BIN SUHARANI