fb fb fb fb fb

Joe Montemurro kini kendali The Matildas

Ketua Jurulatih Skuad Bola Sepak Wanita Kebangsaan Australia, Joe Montemurro / AFP

SYDNEY, 2 Jun- Joe Montemurro kembali ke tanah air sebagai ketua jurulatih pasukan wanita Australia pada Isnin selepas mencipta kejayaan gemilang selama sedekad bersama kelab elit di Eropah seperti Arsenal, Juventus dan Lyon.

Jurulatih berusia 55 tahun itu yang membawa kelab ternama Perancis, Lyon, meraih gelaran liga wanita keempat berturut-turut bulan lalu, menganggap pelantikan itu sebagai penghormatan seumur hidup buatnya.

“Pasukan ini bermakna begitu banyak kepada rakyat Australia dan saya berasa rendah diri dengan peluang untuk membantu membentuk babak seterusnya mereka,” kata Montemurro.

“Saya mengikuti perjalanan luar biasa mereka dengan dekat dan bersemangat melihat semangat, ketabahan dan identiti yang telah mereka bina.”

Matildas mencuri perhatian seluruh negara serta meraih ramai penyokong baharu apabila berjaya mara ke peringkat empat terakhir Piala Dunia di tanah air pada 2023.

Namun, prestasi kurang memberangsangkan di Sukan Olimpik Paris tahun lalu menyebabkan Tony Gustavsson meletak jawatan dan pasukan itu kini tanpa ketua jurulatih tetap.

Tom Sermanni, jurulatih sementara berusia 70 tahun dari Scotland, mengambil alih tugas Gustavsson, namun prestasi pasukan semakin merosot ke tangga ke-16 dunia.

“Joe membawa pengalaman bertaraf dunia, pemahaman mendalam tentang lanskap bola sepak Australia serta hubungan tulen dengan identiti kebangsaan kita,” kata ketua interim Football Australia, Heather Garriock.

“Yang penting, beliau mempunyai pengalaman mengendalikan pasukan wanita di peringkat tertinggi di Eropah selama sedekad dan membawa pemahaman tiada tandingan tentang apa yang diperlukan untuk bersaing dan berjaya dalam bola sepak moden.”

Montemurro, yang pernah memenangi kejuaraan bersama pasukan wanita Lyon, Juventus, Arsenal dan Melbourne City, akan memimpin Matildas ke Piala Asia tahun depan dan seterusnya mengharungi kelayakan Piala Dunia Wanita 2027.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE