fb fb fb fb fb

Jelajah Dunia Akhir BWF: Yew Sin-Ee Yi tewas di separuh akhir

(FOTO FB BWF)

KUALA LUMPUR, 10 Disember - Hasrat beregu lelaki badminton profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi beraksi di peringkat akhir tertangguh lagi, selepas tewas di separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF 2022 di Bangkok, Thailand, siang tadi.

Ini kali kedua Yew Sin dan Ee Yi tewas di separuh akhir selepas mengalami nasib sama pada edisi tahun lalu.

Gandingan ranking kelapan dunia itu tunduk kepada juara dunia tiga kali dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-17, 13-21, 19-21, dalam pertarungan sengit selama 53 minit.

Di set pertama, Yew Sin-Ee Yi bermula garang dan mendominasi permainan, sekali gus menamatkan aksi dengan kemenangan 21-17.


(Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tunduk kepada juara dunia tiga kali dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra
Setiawan 21-17, 13-21, 19-21/ Foto FB BWF)

Pengalaman jelas menjadi faktor pemisah apabila beregu Indonesia itu bangkit mendominasi set kedua dengan 21-13 sebelum menutup permainan dengan kejayaan 21-19 di set penentuan.

Kemenangan itu turut melebarkan rekod pertemuan mereka yang kini berpihak Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dengan 4-1.

Manakala kekalahan itu menyaksikan Yew Sin-Ee Yi terlepas peluang mencipta sejarah menjadi wakil Malaysia pertama mara ke final sejak edisi sulung pada 2018.

Media Baharu