fb fb fb fb fb

JDT tundukkan Sri Pahang 3-1

Foto Facebook Johor Southern Tigers

ISKANDAR PUTERI, 18 Disember- Johor Darul Ta'zim (JDT) terus mengungguli takhta Liga Super 2024 selepas menundukkan Sri Pahang FC, 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.  

Meskipun mendominasi perlawanan, namun skuad Harimau Selatan terpaksa berhempas pulas untuk menembusi pertahanan kebal Tok Gajah.

Taktikal bertahan ditampilkan Sri Pahang berjaya mematahkan setiap serangan direncanakan JDT, sepanjang separuh masa pertama. 

Namun JDT tidak menunggu lama untuk mendahului pada awal babak kedua, hasil gol sendiri pertahanan Sri Pahang, Adam Nor Azlin, dalam situasi sepakan penjuru, pada minit ke-48

Bergson Da Silva menggandakan jaringan buat JDT pada minit ke-52, berpunca daripada bola lorongan Juan Muniz, membolehkan penjaring terbanyak liga itu merembat kencang menewaskan Zarif Irfan.

Sri Pahang pantas merapatkan jurang jaringan selang seminit kemudian, apabila tandukan David Rowley turut berjaya menewaskan penjaga gol JDT.

Menghampiri wisel penamat, JDT pula dihadiahkan sepakan penalti, yang disudahkan kemas Bergson Da Silva, memastikan kemenangan, 3-1. 

Ketua Jurulatih JDT, Hector Bidoglio menyifatkan anak buahnya kembali menemui rentak sebenar pada babak kedua selepas mempamerkan asakan lebih dinamik dan bertenaga. 

"Pada separuh masa kedua, kami menampilkan prestasi lebih baik. Pemain sayap bermain lebih terbuka. Mereka banyak membawa bola ke dalam kawasan berbahaya.

"Keadaan ini memperbaiki aksi kami. Para pemain juga tampil secara lebih berpasukan, dan prestasi keseluruhan sangat baik," katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad menyifatkan mutu pengadilan kurang memuaskan, menjadi punca keputusan tidak memihak kepada pasukannya. 

"Saya kurang senang dengan pengadil, macam main ragbi. Babak pertama, tiga hingga empat kali kena bentesan tetapi tak ada sepakan percuma atau apa-apa hukuman. Tetapi kita ada tiga kad kuning. JDT tak ada satu pun kad kuning

"Macam mana penalti diberikan apabila Ariff Aiman dah bawa bola terlepas kita tackle bersih dia tercampak dah main tiga minit baru pengadil nak tarik balik. Itu sesuatu yang kurang baik untuk bola sepak," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI