fb fb fb fb fb

JDT tepati ramalan mara ke penentuan juara Piala FA

FOTO JOHOR Southern Tigers

JOHOR BAHRU, 4 Ogos- Johor Darul Takzim, JDT menepati ramalan mara ke pentas akhir Piala FA musim ini, selepas merekodkan kemenangan 3-0 ke atas Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.

Penyandang juara musim lalu itu sekali lagi mara  ke perlawanan akhir dengan agregat, 5-1 dan bakal berdepan Selangor yang terlebih dahulu layak.

Kedua-dua pasukan bermain seimbang pada separuh masa pertama tanpa percubaan yang mengancam.

Gol pertama muncul pada minit ke-50 menerusi jaringan Muhamad Feroz Baharudin yang menerima hantaran Matthew Davies.

Kedah berjaya mengikat semula kedudukan menerusi jaringan Ebenezer Assifuah pada minit 61, sebelum dibatalkan kerana offside, hasil pemeriksaan VAR.

Gol Bergson Da Silva pada minit ke-66 kemudiannya turut dibatalkan, juga disebabkan offside. 

Penyerang Brazil itu bagaimanapun mengesahkan nama selaku penjaring dalam aksi malam tadi, pada minit ke-76.

Jaringan ketiga tuan rumah muncul pada minit ke-83, kali ini giliran Juan Muniz.

Kedah terus goyah selepas terpaksa beraksi dengan 10 pemain, apabila kapten pasukan, Sony Norde dilayangkan kad merah gara-gara mengasari Matthew Davies. 

Keputusan penuh di Stadium Sultan Ibrahim, JDT 3, Kedah Darul Aman FC 0.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE