fb fb fb fb fb

Piala FA: Arif Aiman bantu JDT mara ke final

(Foto BERNAMA)

ISKANDAR PUTERI, 27 Jun- Juara bertahan Johor Darul Takzim (JDT) melangkah ke final Piala FA 2023 selepas menewaskan Selangor FC 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim di sini, malam tadi.

Perlawanan 94 minit itu menyaksikan pemain tengah JDT, Arif Aiman menjaringkan hatrik di hadapan 32,257 penonton.

Arif Aiman menjaringan gol permulaan pada minit ke-19, selepas menewaskan penjaga gol Selangor FC, Mohd Khairulazhan Khalid satu lawan satu.

Gol kedua dijaringkan pada minit ke-32, hasil sepakan padu daripada luar petak penalti.

Selang lima minit kemudian, Arif melengkapkan hatrik pada minit ke-37, sebelum Fernando Forestieri menyumbat gol keempat.

Ketua Jurulatih JDT, Esteban Solari berkata menanti JDT di pentas final adalah Kuala Lumpur (KL) City FC.

"Pemain saya sangat memahami taktik itu, kemudian berkenaan kualiti permain, kami sentiasa tahu Arif mempunyai kualiti berlari di ruangan yang ada, jadi secara keseluruhan, ia membabitkan teknik dan cara permainan serta memahami bagaimana untuk bermain bawah tekanan," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe menyifatkan transisi bertahan dan menyerang JDT, menyukarkan pemainnya untuk mengawal dan menyekat JDT daripada menjaringkan gol.

"Jaringan empat gol, memang mana-mana jurulatih akan kecewa tetapi sedikit kesilapan itu daripada pertahanan, kita dibolosi gol terlalu awal. Itu menyebabkan pemain agak 'down' dan daripada segi keyakinan juga, ia nampak sangat ketara," katanya.


(Foto BERNAMA)

Media Baharu