LARKIN, 25 Mei- Harimau Selatan berjaya mengekalkan rekod tanpa Kalah di halaman sendiri dengan membenam Skuad Tok Gajah 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim.
Ia sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah Sri Pahang FC pada aksi Liga Super malam tadi.
Kemenangan skuad kendalian Estaban Solari meletakkan Johor Darul Takzim (JDT) kekal di puncak liga selepas mencipta kemenangan ke-12 berturut-turut.
JDT menguasai perlawanan pada babak pertama dengan beberapa cubaan daripada gandingan trio Bergson da Silva, Fernando Forestieri dan Arif Aiman Hanapi, namun berjaya dipatahkan pertahanan skuad kendalian Fandi Ahmad.
Pada minit ke-40 percubaan pemain tengah JDT Afiq fazail hampir berjaya menjaringkan gol sulung JDT namun berjaya ditampan penjaga gol Muhammad Zarif Irfan.
Bergson berjaya membuka jaringan hasil hantaran Forestieri pada minit akhir babak pertama yang meletakkan JDT di hadapan.
Babak kedua belangsung dengan Skuad Tok Gajah diberi tekanan bertali arus sekali gus membuatkan Sri Pahang membuat perubahan taktikal dengan lebih banyak bertahan.
Jelas ia berhasil dan menyukarkan jentera serangan JDT untuk menambah jaringan.
Bagaimanapun situasi itu tidak kekal lama apabila Arif Aiman berjaya menghantar bola kepada Forestieri sekali gus membuka ruang JDT menambah satu lagi jaringan pada minit ke-74.
Keputusan kekal 2-0 hingga tamat perlawanan.
(Perlawanan JDT menentang Sri Phang di Stadium Sultan Ibrahim)