ISKANDAR PUTERI, 29 Jun- Juara bertahan Piala FA. Johor Darul Takzim (JDT) tidak berdepan masalah menewaskan kelab kerdil, Malaysian University dalam aksi suku akhir pertama, di Stadium Sultan Ibrahim petang tadi.
Kemenangan 5-0 berjaya diraih menjelang perlawanan suku akhir kedua di tempat sama minggu depan. Malaysian University yang menjadi tuan rumah ketinggalan seawal minit kedua menerusi jaringan Corbin Ong.
Gol kedua pula hanya muncul pada babak kedua melalui rembatan jarak dekat pemain gantian, Francisco De Olivera Geraldes pada minit ke-48, sebelum menambah jaringan pada minit ke-61.
Memanfaatkan masa perlawanan pemain pertahanan kebangsaan, Shahrul Saad turut mencipta nama dengan menambah jaringan menerusi tandukan pada minit ke-71. Manakala gol kelima JDT muncul pada minit ke-80, hasil jaringan Romel Ramirez.
Malaysian University mencipta kejutan apabila meraih gol saguhati melalui Mohd Alief Najmi Radzi pada minit ke-80 sebelum dibatalkan.
Sementara itu Ketua Jurulatih JDT Hector Bidoglio menganggap perlawanan tersebut medan untuk beberapa pemain menguji kemampuan dan merebut tempat bagi aksi akan datang
"Saya gembira dengan persembahan para pemain. Hari ini kami turunkan pemain yang kurang beraksi sebelum ini tetapi seperti saya katakan, JDT mempunyai barisan pemain yang bagus.
"Semua pemain dalam keadaan yang baik dan berpeluang untuk menunjukkan kemampuan masing-masing. Sekarang kami perlu berlatih dan membuat pilihan pemain terbaik untuk perlawanan seterusnya," katanya kepada pemberita di sini.
JDT merombak beberapa barisan kesebelasan bagi aksi suku akhir pertama, termasuk menurunkan Safiq Rahim, Syahmi Safari, Ramadhan Saifullah dan Junior Eldstal.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Malaysian University, Mohd Farid Dewan telah menjangka keputusan berkenaan, berikutan perbezaan jurang antara pemainnya dengan JDT.
Aksi berkenaan juga peluang para pemain yang terdiri daripada kalangan pelajar untuk menimba pengalaman bermain dengan pemain berkualiti.
"Saya akan tukar barisan baru, ini adalah aturan saya berkenaan pemain yang akan beraksi. Itu yang kami lakukan untuk menimba pengalaman.
"...tetapi taktikal masih sama, kami bermain secara terbuka bersama-sama JDT, bagus dalam passing play mereka," katanya.
Aksi timbal balik suku akhir kedua berlangsung pada 5 Julai depan.