WASHINGTON, 23 Julai - Wanita transjantina Amerika Syarikat tidak lagi dibenarkan bertanding dalam acara wanita di Sukan Olimpik dan Paralimpik selepas perubahan dasar terkini oleh Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik Amerika Syarikat (USOPC).
Nota baharu di laman web USOPC mengenai penyertaan atlet transjantina dalam sukan menyatakan: “Bermula 21 Julai 2025, sila rujuk kepada dasar keselamatan atlet USOPC.”
Kemaskini dasar ini mengikuti Perintah Eksekutif Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bertajuk “Menghalang Lelaki daripada Menyertai Sukan Wanita”, telah dimasukkan dalam Dasar Keselamatan Atlet USOPC di laman webnya sebagai subseksyen baharu bertajuk “Keperluan Tambahan”.
“USOPC komited untuk melindungi peluang bagi atlet yang mengambil bahagian dalam sukan.
“USOPC akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan yang mempunyai tanggungjawab pengawasan untuk memastikan wanita mempunyai persekitaran pertandingan yang adil dan selamat sejajar dengan Perintah Eksekutif 14201 (perintah Trump) dan Akta Sukan Olimpik & Amatur Ted Stevens." menurut kenyataan itu.
Akta Stevens, yang diterima pakai pada tahun 1988, menyediakan kaedah untuk menangani pertikaian kelayakan bagi sukan olimpik dan acara amatur lain.
“Sebagai organisasi yang diperbadankan secara persekutuan, kami mempunyai kewajipan untuk mematuhi jangkaan kerajaan persekutuan.” menurut memo kepada Pasukan USA daripada Ketua Eksekutif USOPC, Sarah Hirshland, dan Presiden Gene Sykes pada Selasa merujuk kepada perintah eksekutif Trump pada bulan Februari, menyatakan:
Perintah eksekutif Trump mengancam untuk menarik balik dana persekutuan daripada mana-mana sekolah atau institusi yang membenarkan remaja perempuan transjantina bermain dalam pasukan perempuan, dengan dakwaan ia melanggar peraturan Title IX yang memberikan peluang yang sama kepada wanita di AS.
Perintah tersebut memerlukan penguatkuasaan segera terhadap institusi yang menafikan hak wanita kepada sukan dan bilik persalinan berasaskan jantina.
“Dasar yang dikemaskini kami menekankan kepentingan memastikan persekitaran pertandingan yang adil dan selamat untuk wanita.
“Semua Badan Induk Kebangsaan dikehendaki mengemaskini dasar masing-masing agar selaras.” menurut surat USOPC.
Pegawai menyatakan USOPC telah menjalankan sesi perbincangan, susulan perintah eksekutif Trump berkenaan.
Langkah ini diambil ketika Los Angeles bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Panas 2028.
Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) turut mengubah dasarnya mengenai penyertaan atlet transjantina dengan mengehadkan peserta sukan wanita kepada atlet yang ditetapkan sebagai perempuan semasa lahir selepas perintah eksekutif Trump dikeluarkan. - REUTERS