PARIS, 23 Julai - Pemain No.1 Dunia Jannik Sinner sekali lagi bekerjasama dengan Umberto Ferrara, jurulatih kecergasan yang telah dipecatnya pada musim panas 2024 selepas pendedahan bahawa pemain Itali itu didapati positif dadah doping, umum pasukan pengurusannya pada Rabu.
Sejak pendedahan keputusan positif Sinner terhadap steroid anabolik clostebol, Sinner berterusan menegaskan bahawa dia tidak bersalah, dengan meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada pasukannya.
Walaupun dia segera menyingkirkan Ferrara dan ahli fisioterapi Giacomo Naldi selepas keputusan positif itu didedahkan, Sinner masih menggambarkan Ferrara sebagai "jurulatih yang cemerlang" di luar gelanggang semasa ATP Finals di Turin pada November 2024.
“Jannik Sinner telah melantik semula Umberto Ferrara sebagai jurulatih kecergasannya berkuat kuasa serta-merta.
“Keputusan ini dibuat seiring dengan pasukan pengurusan Jannik sebagai sebahagian daripada persiapan berterusan untuk kejohanan-kejohanan akan datang, termasuk Cincinnati Open dan Terbuka AS.
“Umberto telah memainkan peranan penting dalam perkembangan Jannik setakat ini, dan kepulangannya mencerminkan tumpuan baharu terhadap kesinambungan dan prestasi di tahap tertinggi.” umum pasukan pengurusannya yang baharu, Avima, dalam satu kenyataan ringkas.
Pihak berkuasa antidoping mengesahkan bahawa pengambilan bahan itu berlaku secara tidak sengaja dan telah menjatuhkan hukuman penggantungan selama tiga bulan.
Sinner telah menjalaninya selepas kemenangan di Terbuka Australia pada Januari.
Dia kembali tepat pada masanya dalam akhir Terbuka Perancis, namun tewas kepada Carlos Alcaraz sebelum menewaskan pemain Sepanyol itu dalam empat set untuk merangkul kejuaraan Wimbledon pertamanya awal bulan ini.- AFP