KUALA LUMPUR, 12 September- Jaringan Fatin Shahida Azmi pada masa tambahan minit ke-115 berjaya membantu Melaka United mempertahankan kejuaraan bola sepak wanita Piala Tun Sharifah Rodziah 2022 dengan mengalahkan Negeri Sembilan 1-0 pada aksi final di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini, malam tadi.
Kemenangan berkenaan mengulangi kejayaan Melaka United menjulang piala berkenaan pada edisi 2019.
Skuad Negeri Sembilan yang turun dengan semangat juang tinggi menguasai keseluruhan babak pertama sebaik sahaja wisel ditiup dengan mencipta beberapa percubaan namun kedua-dua pasukan kekal terikat tanpa jaringan sehingga akhir babak pertama.
Bersambung pada babak kedua, skuad Melaka United, kendalian S. Ganesan Pillay, mula menemui rentak permainan dengan mengasak kubu lawan namun rembatan pemain tengah Fatin Shahida pada minit ke-71, berjaya ditepis penjaga gol Negeri Sembilan, Nur Ezza Ashikin Abdul Razak.
Piala Tun Sharifah Rodziah / FOTO FB FAMalaysiaOfficial
Bagaimanapun, kedua-dua pasukan masih buntu mencari jaringan sehingga perlawanan diheret ke masa tambahan sebelum Fatin Shahida menjaringkan gol yang ditunggu-tunggu untuk memastikan kemenangan Melaka United. -BERNAMA