LIVERPOOL, 2 Januari- Mohamed Salah membuktikan dirinya masih lagi berbisa buat 'The Reds' selepas membantu pasukan berkenaan menewaskan Newcastle 4-2 pada Isnin.
Pada perlawanan yang berlangsung di Anfield, Liverpool terpaksa menanti sehingga babak kedua bagi membuka jaringan menerusi Mohamed Salah pada minit ke-49 yang berjaya menyudahkan umpanan Darwin Nunez.
Gol berkenaan sekali gus menebus kehampaan Salah yang terlepas peluang menjaringkan gol pada separuh masa pertama selepas sepakan penalti yang diambilnya berjaya diselamatkan penjaga gol Newcastle, Martin Dubravka.
Newcastle yang dibimbing Eddie Howe kemudian bingkas mengatur gerakan dan serangan ke arah pertahanan Liverpool bagi menyamakan kedudukan.
Hasilnya, pada minit ke-54, Alexander Isak berjaya menjaringkan gol penyamaan selepas hantaran Anthony Gordon memerangkap pertahanan tuan rumah bagi menjadikan kedudukan 1-1.
Kedudukan 1-1 tidak bertahan lama, apabila Liverpool kembali di depan pada minit ke-74 hasil tolakan Curtis Jones selepas mendapat hantaran Diogo Jota.
Newcastle yang enggan mengalah kembali menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-81 menerusi jaringan Sven Botman.
Ketika perlawanan seolah-olah akan berakhir dengan seri, Salah mencuri tumpuan dengan gol kedua peribadi sekali gus gol kemenangan Liverpool pada minit ke-86.
Dua jaringan Salah pada perlawanan berkenaan meletakkannya sebaris dengan penyerang sensasi Manchester City, sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana inggeris ketika ini dengan 14 gol.
Kemenangan itu meletakkan Liverpool mengungguli takhta liga dengan 45 mata diikuti Aston Villa, 42 mata manakala Manchester City di tangga ketiga dengan 40 mata.-REUTERS