FOTO AFP
ABU DHABI, 10 Februari- Chelsea mara ke pentas final selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas kelab Arab Saudi, Al-Hilal di separuh akhir.
Aksi di stadium Mohammed bin Zayed, Abu Dhabi itu menyaksikan gol tunggal perlawanan dijaringkan Romelu Lukaku pada minit-32.
Pemain termahal The Blues itu gagal menemui sentuhan jaringan dalam lima perlawanan sebelum ini.
Namun, penyerang kebangsaan Belgium itu muncul wira apabila berjaya memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan untuk membawa Chelsea ke perlawanan akhir, bertemu Palmeiras.
"Setiap orang gembira apabila Romelu menjaringkan gol," kata penolong jurulatih Chelsea, Zsolt Low yang membantu Thomas Tuchel selepas pengurus itu didapati positif Covid-19.
"Dia bekerja keras dan mencuba sehabis baik untuk memberikan segala-galanya. Sebab itu kami memberinya peluang untuk beraksi dan kami berharap dia akan terus memperoleh prestasi sebenar.
"Romelu menjaringkan gol hari ini dan kami sangat gembira. Dia juga gembira dan kami berharap dia akan terus menjaringkan gol pada aksi final."
Ini merupakan kali kedua dalam kejohanan itu yang bakal menyaksikan pertembungan kelab Inggeris dan Brazil dalam tempoh 3 tahun.
Penyandang gelaran Liga Juara-Juara Eropah itu berpeluang menjadi kelab Inggeris ketiga selepas Manchester United dan Liverpool untuk menjulang trofi Piala Dunia kelab.
Perlawanan akhir akan berlangsung tengah malam, Ahad ini. -AFP