fb fb fb fb fb

Jannik Sinner melangkah selesa ke suku akhir Terbuka Perancis

Jannik Sinner beraksi ketika pusingan kedua Terbuka Perancis / REUTERS

PARIS, 3 Jun- Pemain pilihan utama, Jannik Sinner, meneruskan rentak cemerlangnya di Terbuka Perancis 2025 selepas menundukkan wakil Russia, Andrey Rublev, 6-1, 6-3, 6-4 di gelanggang utama Philippe Chatrier pada Isnin.

Bermain dengan penuh ketenangan dan ketepatan dari garisan baseline, pemain nombor satu dunia itu mempersembahkan permainan bertenaga untuk mematahkan cabaran Rublev, yang berada di ranking ke-15 dunia.

Sinner, 23 tahun kini memburu gelaran Grand Slam ketiganya secara berturut-turut selepas kejayaan di Terbuka Amerika Syarikat dan Terbuka Australia serta masih belum tewas sebarang set di Roland Garros setakat ini dengan rekod sempurna 12-0.

Walaupun Rublev mempamerkan aksi yang kompetitif, beliau gagal memanfaatkan dua peluang break point di awal perlawanan dan terpaksa akur dengan keunggulan Sinner.

Set ketiga menyaksikan sedikit cabaran apabila Rublev tampil lebih agresif, namun Sinner kekal tenang sebelum mematahkan servis lawan pada game ke-10, sekali gus menamatkan perlawanan dan melanjutkan rekod kemenangan Grand Slamnya kepada 18 perlawanan berturut-turut.- REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE