fb fb fb fb fb

Izzudin-Sze Fei tewas perlawanan akhir BAC 2024

FOTO AFP

KUALA LUMPUR, 14 April- Hasrat untuk melihat wakil negara menjulang kejuaraan Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 tidak kesampaian apabila pasangan beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei tunduk pada wakil tuan rumah, Liang Wei Keng-Wang Chang pada perlawanan akhir petang tadi.

Ia merupakan pertemuan kedua Izzuddin-Sze Fei dengan gandingan China itu selepas aksi pusingan pertama Terbuka Malaysia 2023 yang lalu.

Pada aksi akhir yang berlangsung di Ningbo itu, wakil China bermula garang di set pertama apabila berjaya mendominasi permainan biarpun diberikan tentangan hebat oleh Izzuddin-Sze Fei sebelum menang 21-17.

Memasuki set kedua, giliran Izzuddin-Sze Fei menunjukkan taringnya dengan setiap serangan membuahkan hasil untuk menang 15-21.

Bagaikan mendapat tonik baharu, wakil China tampak tidak berdepan masalah di set penentuan untuk meraih kemenangan rasmi 21-10.

Keputusan tersebut menyaksikan Malaysia terus kempunan untuk mengulangi kejayaan yang kali terakhir dikecapi gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah selepas menewaskan rakan sepasukan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong semasa saingan BAC edisi 2007 di Johor Bahru.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE