ALOR SETAR, 22 Jun- Kedah Darul Aman FC mendapat tonik terbaik apabila penyerang berbisanya, Ronald Ngah Wanja disahkan boleh diturunkan pada aksi pembukaan Kumpulan G, Piala AFC antara KDA FC dengan Bali United FC di Stadium Stadium Capten 1 Wayan Dipta, Bali, Indonesia, Jumaat ini.
Sebelum ini, ketiadaan Ngah Wanja bersama rakan sepasukan yang tiba di Bali, Indonesia pada Isnin lalu mencetuskan tanda tanya dikalangan peminat setia Hijau Kuning mengenai kedudukan pemain tersebut.
Berkongsi berita gembira itu kepada RTM, Penaung KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar berkata Ngah Wanja tidak dapat mengikuti penerbangan bersama rakan sepasukan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA pada Isnin lalu akibat masalah visa.
Beliau berkata, proses yang lebih ketat oleh Kerajaan Indonesia terhadap warga Cameroon menyebabkan Ngah Wanja tidak dibenarkan memasuki negara itu.
Bagaimanapun, segala urusan tersebut telah diselesaikan dan Ngah Wanja telah menaiki penerbangan dari KLIA ke Bali, Indonesia, pukul 9 pagi tadi.
Kehadiran Ngah Wanja pastinya memberi kekuatan dibahagian jentera serangan KDA FC bagi menghadapi kejohanan tersebut.
Tambahan pula, Skuad Kenari kini diperkuatkan dengan kehadiran dua tonggak import baharu iaitu Sanrawat Dechmitr dari Thailand dan pemain tengah skuad kebangsaan Jordan, Mahmoud Al-Mardi.
Kedah yang diundi dalam Kumpulan G akan bertemu kelab dari Indonesia, Bali United pada 24 Jun; diikuti Kaya Iloilo FC dari Filipina dan Visakha United FC dari Kemboja masing-masing pada 27 dan 30 Jun ini.
Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Capten 1 Wayan Dipta, Bali, Indonesia.
(Pemain KDA FC, Ronald Ngah Wanja)