IPOH, 3 Ogos- Isu tuntutan pembayaran baki kontrak bekas jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim masih belum menemui titik noktah.
Rundingan bersama bekas majikannya itu dilaporkan tidak mencapai kata sepakat.
Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan butiran rundingan bersama Perak FC.
"Saya tidak boleh maklumkan perkara yang kami bincangkan bersama. Saya harap kamu semua faham. Kita akan ada satu lagi sesi rundingan.
Saya harap perkara ini tidak dibawa untuk tindakan mahkamah sebaliknya mereka akan buat satu solusi perdamaian," kata Teong Kim kepada pemberita di Jabatan Perhubungan Perusahaan Perak, di Bangunan Persekutuan, di sini.
Rundingan seterusnya bersama Perak FC akan diadakan 26 Ogos depan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsudin berkata Perak FC masih terbuka untuk melakukan rundingan seterusnya.
Bobie turut menegaskan pihaknya kekal dengan pendirian bahawa kelab itu tidak menahan atau berhutang sebarang bayaran terhadap bekas jurulatih itu.
"Dia ada hak untuk buat apa yang dia nak tetapi kami kekal dengan pendirian sama. Dia boleh buat apa yang dia fikir betul," kata Bobie kepada pemberita.
(Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsudin)