KANGAR, 13 Oktober- Jawatankuasa Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) kini sedang meneliti isu berkaitan penamatan kontrak jurulatih kepada ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli.
Kontrak Mohd Poad Md Kasim bakal ditamatkan penghujung tahun ini.
Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim memaklumkan jawatankuasa teknikal akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan isu berkenaan bagi mencari jalan penyelesaian.
Dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Perlis Super Series 5, Zaidatul berjaya memecahkan rekod kebangsaan bagi acara 100 meter selama 31 tahun dengan catatan masa 11.49 saat sekali gus memecahkan rekod G. Shanti, 11.50 saat yang dilakukan di Kuala Lumpur pada 7 Mei 1993.
"Kita juga akan adakan Sea Youth pada bulan November di Sabah. Kemudian, Super Series 6 yang akan dibuat di Sarawak."
"Jadi, mereka semua yang ada kekurangan dan sebagainya, kita akan pastikan mereka ada jurulatih termasuk kebajikan yang lain. Perkara ini jawatankuasa teknikal yang akan putuskan," kata Datuk Seri Shahidan Kassim kepada pemberita, hari ini.
Beliau memaklumkannya kepada media pada Kejohanan Olahraga Terbuka Perlis Super Series 5 yang berakhir hari ini.
Selain itu, seorang lagi atlet lontar peluru wanita negara, Nani Sahirah Maryata turut memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri dengan balingan sejauh 15.39 meter untuk mengatasi rekod yang diciptanya tahun lepas 15.22m pada Kejohanan Olahraga Terbuka Perak.