fb fb fb fb fb

Isu jadual padat: FIFPro dakwa pemain takut bersuara

Foto hiasan/REUTERS

AMSTERDAM, 26 Julai – Pemain bola sepak profesional elit dunia takut untuk bersuara mengenai jadual perlawanan yang terlalu padat kerana bimbang ia boleh menjejaskan kerjaya mereka, kata Setiausaha Agung Kesatuan Pemain Bola Sepak Dunia (FIFPro), Alex Phillips.

Kenyataan itu dibuat susulan mesyuarat antara FIFPro dan 58 kesatuan pemain kebangsaan dari seluruh dunia di sini bagi membincangkan kebimbangan terhadap cara Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengurus sukan itu di peringkat global.

Pertemuan tersebut berlangsung kurang dua minggu selepas kejohanan sulung Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat yang disifatkan kejayaan besar oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino, tetapi menerima kritikan daripada FIFPro kerana menambah beban kepada pemain yang sudah dibebani jadual padat.

“Sebelum Piala Dunia Kelab, saya berbual dengan beberapa bintang utama yang mengadu mereka tidak berehat untuk tempoh yang lama,” kata Phillips.

“Ada yang berkata mereka hanya akan berehat apabila cedera. Malah ada yang bersikap sinis dan sudah putus harapan untuk bersuara.”

Menurutnya, pemain-pemain tersebut kemudiannya terpaksa muncul dalam video media sosial memuji kejohanan kerana diarahkan majikan mereka.

“Kita berdepan situasi bercanggah. Pemain boleh bersuara, tetapi mereka tahu ia mungkin membawa akibat buruk,” katanya lagi.

FIFPro dalam kenyataan rasmi menyelar FIFA kerana terlalu menumpukan perhatian kepada Piala Dunia Kelab dan mengabaikan isu-isu asas yang memberi kesan kepada kebajikan pemain di seluruh dunia.

Antara isu yang dibangkitkan termasuk jadual perlawanan yang “terlalu padat”, risiko bermain dalam cuaca panas, serta pengabaian berterusan terhadap hak sosial pemain.

Tahun lalu, FIFPro Eropah telah mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Eropah, menuduh FIFA menyalahguna kuasa dalam pengurusan kalendar perlawanan antarabangsa.

Presiden FIFPro, Sergio Marchi turut mengkritik kepimpinan Infantino dan menyifatkan FIFA sebagai organisasi "autokratik" dalam satu wawancara bersama The Athletic minggu ini.

FIFA pula dalam kenyataan balas menuduh FIFPro memilih konfrontasi terbuka berbanding dialog membina, dengan menyatakan pihaknya kecewa dengan pendekatan "semakin memecahbelahkan dan bercanggah" oleh kepimpinan FIFPro.

"FIFA kecewa kerana FIFPro enggan hadir ke mesyuarat di New York pada 12 Julai, dan memilih jalan konfrontasi demi kepentingan kedudukan peribadi," kata badan induk itu yang berpangkalan di Zurich. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD