KOTA BHARU, 17 Jun-Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan mesyuarat pada Isnin ini untuk meneliti isu ketidakpuasan hati yang dibangkitkan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata pertemuan itu akan diadakan bersama jawatankuasa program Road to Gold (RTG) dan yakin keputusan positif bakal dicapai pada mesyuarat itu nanti.
Menurut Hannah lagi, perkara tersebut penting dalam usaha mempersiapkan para atlet dalam memburu pingat emas pertama negara di Olimpik Paris 2024.
"Datuk Azizulhasni merupakan aset kepada negara.
"Saya pasti Jawatankuasa Road To Gold (RTG) akan menunaikan permintaannya bagi memastikannya bersedia di Olimpik nanti", katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan Bagi Tahun 2023 di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini.
Pelumba yang digelar 'The Pocket Rocketman' itu sebelum ini melahirkan kekecewaan terhadap Majlis Sukan Negara (MSN) kerana kegagalan menyediakan sistem sokongan lengkap, selepas memindahkan pangkalan latihannya dari Melbourne ke Velodrom Nasional di Nilai, sejak awal tahun ini.
Dalam perkembangan lain, Hannah berkata Sambutan Hari Belia Negara di Kelantan menyasarkan penyertaan 60,000 belia sepanjang tiga hari program berlangsung dengan lebih 40 aktiviti menarik disediakan.
(Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh)