NEW DELHI, 8 Mei - Perlawanan Liga Perdana India (IPL) antara Mumbai Indians dan Punjab Kings yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini telah dipindahkan ke Gujarat susulan ketegangan yang semakin memuncak antara India dan Pakistan.
Media tempatan melaporkan perlawanan tersebut pada asalnya dirancang di Dharamsala, namun penutupan lapangan terbang di kawasan itu akibat keganasan memaksa pihak penganjur menukar lokasi.
Bagaimanapun, perlawanan pada Khamis malam antara Punjab Kings dan Delhi Capitals yang turut berlangsung di Dharamsala akan diteruskan seperti dijadualkan, begitu juga dengan semua perlawanan lain dalam beberapa hari mendatang.
Setiausaha Persatuan Kriket Gujarat, Anil Patel berkata perlawanan Ahad ini akan dipindahkan ke bandar Ahmedabad di negeri Gujarat. Beliau memaklumkan perkara tersebut kepada agensi berita Press Trust of India (PTI) pada Khamis.
Sementara itu, beberapa lapangan terbang di utara India turut ditutup selepas New Delhi melancarkan serangan udara ke atas Pakistan pada Rabu.
Serangan itu dilakukan dua minggu selepas India menuduh Pakistan menyokong serangan ke atas pelancong di kawasan Kashmir yang ditadbir India, tuduhan yang dinafikan oleh Islamabad.
Sejak kejadian itu, kedua-dua negara yang sering bertelagah telah berbalas tembakan di sepanjang sempadan yang dipertikaikan di Kashmir. Situasi tersebut menimbulkan kebimbangan kemungkinan tercetusnya konflik lebih besar antara dua negara bersenjata nuklear itu.-AFP