fb fb fb fb fb

Gilmore singkir Simmers di Gold Coast Pro, Toledo cemerlang ke pusingan 16 terbaik

Foto Reuters

GOLD COAST, 8 Mei - Juara dunia lapan kali, Stephanie Gilmore dari Australia meneruskan rentak cemerlang dalam kejohanan Gold Coast Pro apabila menyingkirkan juara dunia semasa, Caity Simmers pada aksi Khamis.

Dalam pertembungan sengit itu, Gilmore mencatatkan markah 12.84, mengatasi 12.50 milik Simmers sekali gus melayakkannya ke peringkat suku akhir.

Gilmore dijadualkan berdepan atlet Kanada, Erin Brooks pada pusingan seterusnya.

Sementara itu, dalam kategori lelaki, juara dua kali, Filipe Toledo dari Brazil yang kembali beraksi selepas berehat selama setahun bagi menjaga kesihatan mental, mempamerkan prestasi membanggakan apabila mencatat markah 17.87 untuk menewaskan atlet Amerika Syarikat yang sedang dalam prestasi terbaik, Crosby Colapinto.

Hari penuh kejutan itu turut menyaksikan pemain nombor tiga dunia, Ethan Ewing dari Australia, tewas mengejut kepada rakan senegaranya, Morgan Cibilic.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN