FORT LAUDERDALE, 24 Februari- Kelab bola sepak MLS, Inter Miami menambah seorang lagi pemain Amerika Selatan ke dalam skuad dengan menandatangani pemain tengah Argentinos Juniors, Federico Redondo.
Redondo telah menandatangani kontrak tiga tahun bersama kelab itu dengan pilihan tambahan untuk musim 2028.
Pemain berusia 21 tahun itu adalah anak kepada bekas pemain tengah Real Madrid dan Argentina, Fernando Redondo dan dijangka bermain bersama pemain Sepanyol Sergio Busquets di bahagian tengah.
"Saya sangat gembira untuk menyertai kelab yang berkembang dengan begitu pesat. Ia adalah peluang yang baik untuk berkongsi padang dengan pemain terbaik," kata Redondo.
"Saya tidak sabar untuk beraksi dalam kumpulan bersama rakan sepasukan. Kami perlu melangkah setapak demi setapak tetapi sentiasa bermimpi besar."
Redondo telah mewakili pasukan kebangsaan Argentina di peringkat Bawah 20 dan bawah 23 tahun dan membantu pasukan layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Redondo akan menggantikan seorang lagi pemain muda Argentina dalam senarai Miami, Facundo Farias, yang mengalami kecederaan ligamen lutut penghujung musim bulan lalu.
Sejak ketibaan Messi pada Julai, Miami membawa masuk pemain pertahanan tengah Argentina, Tomas Aviles dan pemain tengah antarabangsa Paraguay berusia 20 tahun Diego Gomez.
Di luar musim, kelab itu turut membawa masuk penyerang veteran Uruguay Luis Suarez, bekas rakan sepasukan Messi di Barcelona, Busquets dan bek kiri Miami dari Sepanyol, Jordi Alba.
Miami memulakan kempen MLS pada Rabu dengan kemenangan 2-0 di tempat sendiri ke atas Real Salt Lake dan akan menempuhi satu lagi perlawanan pada Ahad di Los Angeles Galaxy.-AFP