AVELLANEDA, 10 Ogos – Independiente terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang pendahulu Kumpulan B, River Plate, dalam aksi Clausura Argentina di Avellaneda, semalam.
Tuan rumah berpeluang meraih tiga mata namun dua jaringan mereka dibatalkan kerana offside pada separuh masa kedua.
Foto Reuters
Santiago Montiel terlebih dahulu melihat rembatan jauhnya dibatalkan pada minit ke-52, sebelum percubaan melambung Walter Mazzantti turut tidak dikira sembilan minit kemudian.
Keputusan itu menyaksikan River Plate kekal di puncak kumpulan dengan lapan mata selepas empat perlawanan, mendahului San Lorenzo menerusi perbezaan jaringan.
Sementara itu, Independiente terus mencari kemenangan pertama musim ini apabila sekadar menghuni tangga ke-14 daripada 15 pasukan selepas dua keputusan seri dan dua kekalahan. -REUTERS
