fb fb fb fb fb

Impian Malaysia ke suku akhir musnah, tewas kepada Sepanyol

(FOTO FB FIH)

KUALA LUMPUR, 23 Januari- Malaysia terlepas peluang layak ke peringkat suku akhir Piala Dunia 2023 selepas tewas kepada Sepanyol menerusi penentuan penalti 3-4 pada aksi 'cross over' di Stadium Kalinga pada malam Ahad.

Sebelum itu skuad negara mempamer aksi menakjubkan apabila mengikat pasukan ranking kelapan dunia itu 2-2 pada masa penuh permainan.

Pada aksi tersebut, Malaysia yang turun dengan misi memburu kemenangan ketiga dalam kempen Piala Dunia, terpaksa bermain secara bertahan selepas menerima asakan bertali arus Sepanyol sepanjang suku pertama dan kedua.

Taktikal bertahan dan menanti peluang melakukan serangan balas itu akhirnya membuahkan hasil apabila penyerang Faizal Saari meletakkan The Speedy Tigers di depan pada minit ke-35.

Bagaimanapun, Sepanyol bangkit dengan dua gol pantas pada minit ke-41 menerusi penalti stroke dan minit ke 42 hasil jaringan padang.

Ketinggalan 2-1, skuad kendalian A. Arul Selvaraj itu kemudian mula menggandakan asakan memburu gol penyamaan, namun jaringan Amirul Azahar dibatalkan pengadil.

Skuad negara terus melancar serangan di suku keempat dan usaha tersebut berhasil apabila Shello Silverius menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-49, sekali gus mengheret pertemuan ke penentuan penalti.

Dalam penentuan tersebut, Malaysia sekali lagi terikat 3 sama dengan Sepanyol dan memaksa pertarungan diteruskan dengan aksi 'sudden death'.


(FOTO FB FIH)

Nasib jelas tidak (memihak 'The Speedy Tigers' dalam penentuan berkenaan apabila penyerang, Firhan Ashari gagal menyempurnakannya, sekali gus memusnahkan impian Malaysia ke suku akhir.

Kekalahan itu turut menyaksikan Malaysia yang berada di ranking ke-9 dunia, terpaksa beraksi dalam saingan klasifikasi dengan bertemu Afrika Selatan, Khamis ini.

Media Baharu