KUALA PERLIS, 15 September - Seramai 36 atlet beserta 13 orang pengurus dan jurulatih bersama teknikal membawa cabaran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini dalam Kejohanan Sukan ILKBS Se-Malaysia kali Ke-34.
Kejohanan edisi kali ini akan berlangsung selama empat hari bermula 19 September ini IKBN, Bachok, Kelantan.
Menurut Pengarah IKBN Kuala Perlis, Zaliha Abu Bakar objektif utama kejohanan ini, menjadikan sukan sebagai salah satu budaya hidup dan daya tarikan kepada para pelajar untuk mengisi masa lapang dan menghindari diri daripada gejala tidak sihat.
Walaupun pada edisi ke-33 di IKTBN Sepang pada 2019 lalu IKBN Kuala Perlis gagal membawa pulang sebarang pingat, namun bagi edisi kali ini para atlet diharap mampu membawa pulang sekurang-kurangnya dua pingat.
(Zaliha berucap pada Majlis Penyerahan Bendera dan Amanat Pengarah Kejohanan Sukan ILKBS Se-Malaysia
di IKBN Kuala Perlis)
Persediaan rapi oleh atlet IKBN Kuala Perlis berupaya mencapai kejayaan yang disasarkan sekiranya sentiasa fokus kepada kejayaan, berfikiran positif, mempunyai keyakinan tinggi dan tidak bersikap sambil lewa.
Sebanyak lima jenis sukan di pertandingkan, iaitu Bola Sepak, Bola Jaring, Sepak Takraw, PUBG dan Ping Pong.
Kontinjen IKBN Kuala Perlis kali ini diketuai Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Amierul Affendi Adnan.