LONDON, 5 Disember- Pelindung leher akan diwajibkan di semua perlawanan Persekutuan Hoki Ais Antarabangsa (IIHF) termasuk Sukan Olimpik dan kejohanan dunia lelaki dan wanita.
Perkara itu diumumkan badan induk sukan itu pada Isnin.
Keputusan itu dibuat hanya beberapa minggu selepas kematian pemain Amerika Syarikat, Adam Johnson, yang bermain untuk Nottingham Panthers dalam Liga Hoki Ais Elit Britain.
Johnson, 29, meninggal dunia pada 28 Oktober selepas dipukul di leher oleh pemain lawan semasa perlawanan di Sheffield.
Pelindung leher belum lagi diwajibkan dalam liga profesional termasuk NHL, manakala IIHF masih belum mengumumkan tarikh permulaan untuk keputusan baharunya, memandangkan kelewatan dalam mendapatkan peralatan yang diperlukan.
Kenyataan IIHF berbunyi: "Majlis IIHF, atas saranan daripada jawatankuasa perubatannya, telah memutuskan untuk mewajibkan penggunaan pelindung luka leher, yang direka khusus untuk tujuan ini, di semua peringkat pertandingan IIHF.
"Tarikh tepat peraturan ini akan berkuat kuasa bagi kategori senior akan ditentukan oleh situasi bekalan. IIHF kekal berhubung rapat dengan pembekal untuk memastikan mereka dapat bertindak balas terhadap permintaan tinggi semasa.
"Sehingga peraturan itu berkuat kuasa secara rasmi, IIHF terus mengesyorkan agar pelindung luka leher dipakai oleh semua pemain yang beraksi dalam pertandingan IIHF."-AFP