(Ketua Jurulatih Perak, S. Jagatheesan pada sidang media sempena Kejohanan Hoki Piala Tun
Abdul Razak 2022 di Bukit Jalil, hari ini)
KUALA LUMPUR, 5 Oktober - Juara bertahan, Perak memburu gelaran hatrik Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak 2022 yang akan membuka tirainya esok.
Ketua jurulatihnya, S. Jagatheesan berkata, walaupun pernah muncul juara sebanyak 11 kali, namun Perak tidak pernah mempertahankannya untuk kali ketiga berturut-turut.
"Tahun ini ada satu matlamat yang lain sikit sebab walaupun pernah jadi johan banyak kali tapi belum capai hatrik, jadi kalau boleh dengan pasukan yang saya ada sekarang di bawah pimpinan Syed Mohammad Syafiq ini, kami harap dapat melangkah ke peringkat akhir, ia sasaran utama," kata beliau pada sidang media di Bukit Jalil, di sini hari ini.
Menurut Jagatheesan, demi mencapai misi tersebut, pasukannya mengekalkan 70 peratus pemain tahun lalu dan digabungkan dengan pemain remaja yang beraksi di SUKMA baru-baru ini.
Piala Tun Abdul Razak yang telah memasuki edisi ke-60 tahun ini, disertai 13 pasukan termasuk Singapura.
Manakala, saingan wanita pula menyaksikan penyertaan 9 pasukan.
(Perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak 2021 di antara Perak menentang Pahang
di mana Perak berjaya menewaskan Pahang dengan keputusan 2-1/ Foto BERNAMA)
Sementara itu, juara bertahan bagi saingan wanita, Kuala Lumpur pula enggan memandang mudah cabaran pasukan lain dalam edisi kali ini.
Pengurus pasukan, Datuk Hary Sham Chasmen berkata, bagi saingan ini, mereka hanya meletakkan sasaran dalam kelompok tiga terbaik.
"Saya rasa pasukan dalam kumpulan kami ini, Melaka agak kuat juga tapi apa pun kita kena bagi keyakinan penuh kepada semua pemain, latihan pun cukup dan kita pun akan buat yang terbaik," menurut beliau.
Dalam kempen kali ini, Kuala Lumpur akan membuka saingan bertemu Terengganu pada Jumaat.