fb fb fb fb fb

Hamidin dicalon Ahli Majlis FIFA

(FOTO FAM)

KUALA LUMPUR, 5 Oktober - Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dicalonkan untuk mengisi kerusi Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi penggal 2023-2027.

Perkara itu disahkan Konfederasi Bola Sepak Asia-AFC menerusi senarai calon yang dikeluarkan badan induk berkenaan, hari ini.

Walaupun baharu di peringkat pencalonan, Hamidin tetap menganggap ia sebagai satu penghormatan dalam membawa nama Malaysia khususnya bagi sukan bola sepak di mata dunia.

Beliau berkata, pencalonan itu juga menunjukkan Malaysia dan FAM mendapat sokongan daripada negara lain di peringkat Asia.

(Datuk Hamidin Mohd Amin / FOTO FAM)

"Ini juga adalah sokongan daripada negara Asia lain, yang menaruh kepercayaan kepada saya. Dalam pada itu, ia selari dengan matlamat saya dalam menjadikan bola sepak Malaysia sebagai satu komponen amat penting di peringkat antarabangsa.

"Paling menjadi keutamaan dan tumpuan buat saya adalah untuk menaikkan lagi bola sepak Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi terutamanya di mata dunia," katanya menerusi kenyataan.

Enam individu lain turut dicalonkan bagi kerusi itu termasuk Presiden Persatuan Bolasepak Qatar (QFA), Sheikh Hamad Khalifa Ahmed Al-Thani dan Presiden Persekutuan Bolasepak Asia Timur (EAFF), Du Zhaocai dari China.

Pemilihan akan diadakan pada Kongres Konfederasi Boalsepak Asia (AFC) di Bahrain pada 1 dan 2 Februari tahun depan.

Media Baharu