fb fb fb fb fb

Hoki Piala Dunia Remaja : Young Tigers gagal mara ke suku akhir

Situasi cemas apabila pemain Australia menyerang gawang gol pasukan Malaysia dan berjaya menjaringkan gol pada perlawanan peringkat kumpulan Hoki Piala Dunia Remaja 2023 di Stadium Hoki Nasional, hari ini/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Disember- Peluang Young Tigers untuk mara ke suku akhir Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 tertutup selepas tewas 2-5 ke atas Australia pada aksi kejohanan itu, petang tadi.

Pertembungan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil menyaksikan, Australia bermula garang membuka jaringan seawal minit kedua menerusi pukulan sudut penalti, Cooper Burns.

Juara edisi 1997 itu meneruskan penguasaan dengan menambah dua lagi jaringan untuk menjadikan kedudukan 3-0 sebelum tamat suku pertama.

Memasuki suku kedua, skuad negara kendalian Muhamad Amin Rahim berjaya merapatkan kedudukan menerusi gol padang Mohammad Harris Iskandar Osman pada minit ke-23.

Namun kealpaan benteng pertahanan Malaysia selepas itu dihukum dengan gol keempat Australia pada minit ke-27.

Dua lagi gol masing-masing menerusi pemain negara, Shafiq Ikhmar Daniel pada minit ke-44 dan pemain Australia beberapa minit berselang menjadikan perlawanan berakhir dengan keputusan memihak Australia, 5-2.

Malaysia seterusnya akan berdepan Mesir pada perlawanan klasifikasi 9 hingga 16 pada Isnin ini.

Malaysia memulakan kempen dengan membelasah Chile 7-1 dalam aksi pertama pada Selasa, kemudian dibenam 0-4 oleh Argentina pada Rabu, manakala Australia yang tewas tipis 0-1 kepada Argentina, bangkit membelasah Chile 7-1 pada aksi sebelum ini.

Keputusan itu menyaksikan skuad negara menamatkan peringkat kumpulan di tempat ketiga dengan tiga mata, di belakang Argentina (9 mata) dan Australia (6 mata), manakala Chile di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata. Hanya dua pasukan teratas mara ke suku akhir.

Pencapaian terbaik Malaysia pada JWC ialah meraih tempat keempat pada edisi sulung 1979 serta 1982 dan 2013 manakala pada edisi lepas di Bhubaneswar, India, skuad negara tersingkir pada suku akhir selepas tewas 0-4 kepada Perancis.

ZEHRA BINTI ZAMBRI