fb fb fb fb fb

Hoki Piala Dunia Remaja: Jadual perlawanan Malaysia-Australia dipinda

Pengurus kejohanan, Brian Gerard Fernandez/FOTO RTM

BUKIT JALIL, 28 November-Jadual perlawanan Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 yang melibatkan skuad kebangsaan terpaksa dipinda bagi memberi laluan kepada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, 8 Disember ini.

Pengurus kejohanan, Brian Gerard Fernandez berkata perubahan itu dibuat selepas mendapat nasihat daripada PDRM bagi mengelakkan kesesakan.

Perubahan tersebut menyaksikan skuad bimbingan Muhamad Amin Rahim yang dijadual bertemu Australia pukul 8 malam, terpaksa bermain lebih awal iaitu pada pukul 2 petang.

"Kami cuma ada masa pukul 8, 10, 12 dan 2. Harapnya menjelang pukul 5 kami boleh selesaikan perlawanan.

"Keadaan terlalu sesak di sini. Kita telah lihat sejak di pusingan kelayakan lagi. Kita tidak boleh benarkan pasukan hadir. Kita perlukan mereka tepat pada masanya", kata Brian ketika ditemui di sini.

Menurut Brian perkara tersebut turut dipersetujui Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Selain perlawanan Malaysia dan Australia, pertembungan antara Argentina dan Chile yang sepatutnya berlangsung pada pukul 6 petang, diawalkan ke pukul 12 tengah hari.

Sementara itu, Pengerusi kejohanan Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata tahap persiapan kejohanan berkenaan mencapai 95 peratus.

"Persiapan boleh dikatakan telah mencapai 95 peratus. Menjelang dua atau tiga hari lagi semuanya akan selesai.

"Dari segi persiapan padang, kita telah bersedia sepunuhnya. Pihak MHC dan pihak stadium telah bertungkus-lumus dalam persiapan kali ini", kata Anil yang ditemui di sini.

Pada masa sama, Anil berharap kemasukan percuma sepanjang kejohanan digunakan sepenuhnya peminat hoki tempatan, untuk memberikan sokongan kepada pasukan negara di stadium.

Dalam pada itu, dia turut berkata Chile menjadi negara pertama yang tiba Sabtu lepas dan dijangka kesemua 16 pasukan akan tiba sebelum 3 Disember.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD