fb fb fb fb fb

Hoki Kelayakan Olimpik 2024: Skuad negara tewas 2-3 kepada China

Aksi pembukaan Kumpulan A antara Malaysia dan China pada Kejohanan FIH Hoki Kelayakan Olimpik 2024 di Oman

MUSCAT, 16 Januari- Hasrat skuad hoki lelaki untuk membalas dendam ke atas China terbantut selepas tewas 2-3 dalam aksi pembukaan Kumpulan A pada Kejohanan FIH Hoki Kelayakan Olimpik 2024 di sini.

Ia adalah kali pertama China berjaya mengatasi Speedy Tigers dalam empat pertemuan terakhir.

Skuad negara bermula baik pada awal perlawanan apabila Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal meledak gol pembukaan pada minit ke-29.

Namun kealpaan barisan pemain pertahanan 'dihukum' apabila melepaskan dua gol dalam masa kurang lima minit.

Lin Changliang terlebih dahulu menyamakan kedudukan menerusi penalti stroke pada minit ke-31 sebelum Chao Jieming mengandakan jaringan selang tiga minit kemudian.

Muhammad Razie Abd Rahim berjaya menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-47 hasil gol pukulan sudut penalti.

Bagaimanapun Gao Jiesheng memusnahkan harapan negara menerusi gol pukulan sudut penalti di penghujung perlawanan menjadikan kedudukan 2-3.

SITI AISHAH BINTI MD ISA