fb fb fb fb fb

HKFC hantar dua pemain remaja ke Sepanyol, ketengahkan bakat muda ke peringkat antarabangsa

FOTO FB KDA FC

ALOR SETAR, 28 Januari - Kelab yang berpengkalan di Kedah, Hijau Kuning Football Club (HKFC) melakar sejarah tersendiri apabila bakal menghantar dua pemain remajanya untuk menjalani sesi latihan dan pemilihan bersama kelab bola sepak di Sepanyol.

Muhammad Hafiy Hamdan dan Muhammad Farhan Mohd Firdaus kedua-duanya berusia 17 tahun akan dihantar ke Sepanyol pada bulan Jun atau Julai ini.

Presiden HKFC, Muhammad Talhah Zainol berkata kedua-dua pemain berkenaan akan menjalani sesi pemilihan dan latihan bersama beberapa kelab Divisyen 3 atau 4 Liga Sepanyol.

Mereka dijangka akan berada di negara itu untuk tempoh dua hingga empat minggu.

Namun ia bergantung kepada perbincangan lanjut antara pihaknya bersama kelab yang bakal disertai kedua-dua pemain itu yang akan diumumkan sedikit masa lagi.

"Kita menyasarkan dengan dua pemain yang kita hantar ini akan jadi satu mukadimah, rangsangan, suntikan semangat kepada remaja lain di Kedah ini untuk berusaha dengan lebih keras. Selain itu, cuba untuk mengambil peluang ini untuk mengubah dan membina industri bolasepak," kata Muhammad Talhah kepada RTM selepas memperkenalkan Hafiy dan Farhan di Pejabat KDA FC di sini.

Sementara itu, kedua-dua pemain tersebut yang beraksi di posisi serangan ketika ditemui menyifatkan peluang tersebut amat dinanti-nantikan dan peluang itu akan digunakan dengan sebaik mungkin untuk memikat kelab Sepanyol.

"Saya berasa amat teruja dengan khabar gembira ini, Insya-Allah saya akan buat yang terbaik dan kerja keras untuk berjaya. Ini impian saya dari kecil untuk bermain di Eropah," kata Muhammad Hafiy.

"Saya bersyukur dapat panggilan dari jurulatih untuk latihan dan pemilihan di Sepanyol, syukur sangat-sangat. Saya tak pernah dapat peluang berharga macam ini kan, saya akan buat sebaik mungkin untuk mendapatkan hasil, " kata Muhammad Farhan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Kedah Darul Aman (KDA FC), Khamal Idris Ali yang turut hadir pada majlis tersebut menyifatkan, langkah yang diambil HKFC yang merupakan rakan rasmi KDA FC itu amat tepat.

Ia membuka ruang dan peluang kepada lebih ramai bakat-bakat muda untuk mengetengahkan bakat mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

"Kita sangat mengalu-alukan apa yang HKFC laksanakan kerana secara tidak langsung dia membantu kita dalam proses mendapatkan pemain yang berbakat, di pihak kita sendiri kita tak mampu untuk nak tengok semua benda, akan tetapi dari segi kolaborasi ini, sedikit sebanyak mengurangkan beban kita dalam proses mencari bakat-bakat muda ini," katanya ketika ditemui RTM.

Pada majlis yang sama, HKFC mengumumkan bekas pemain Kedah di era 90-an, Rosli Hussin sebagai Pengarah Teknikal kelab itu.

Rosli akan dibantu beberapa bekas pemain ternama Kedah, antaranya penjaga gol, Muhammad Al-Hafiz Hamzah, Rafiz Abu Bakar dan Ridzuan Mohd Radzi.

HKFC turut membuka peluang kepada remaja berusia 10,12 dan 14 tahun yang berminat untuk menyertai akademi tersebut.

Media Baharu