fb fb fb fb fb

Harry Maguire bukan lagi kapten Red Devils

(FOTO TWITTER @HarryMaguire93)

LONDON, 17 Julai- Harry Maguire mengumumkan dia tidak lagi menjadi kapten Manchester United selepas perbincangan dengan pengurus pasukan, Erik ten Hag.

Laporan awal bulan ini mencadangkan Ten Hag akan mengeluarkan pemain antarabangsa England itu daripada peranannya sebagai ketua pasukan berikutan penampilan terhad Maguire bawah bos Belanda itu musim lalu.

Pemain pertahanan tengah itu hanya diletakkan dalam kesebelasan utama dalam lapan perlawanan Liga Perdana, mencetuskan spekulasi mengenai masa depannya bersama gergasi Inggeris itu.

Tetapi apa yang kini pasti ialah dia tidak lagi menjadi kapten di Old Trafford, dengan Maguire menulis di Twitter: "Selepas perbincangan dengan pengurus hari ini dia telah memaklumkan kepada saya dia menukar kapten.

"Dia menggariskan alasannya kepada saya dan walaupun saya secara peribadi sangat kecewa, saya akan terus memberikan segalanya setiap kali saya memakai jersi itu (Man United)."

Pemain berusia 30 tahun itu menambah: "Jadi saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada penyokong Manchester United atas sokongan cemerlang mereka semasa saya memakai lilitan kapten.

“Sejak hari pertama saya memegang peranan itu, tiga setengah tahun lalu, ia adalah satu keistimewaan besar untuk memimpin Manchester United dan salah satu detik paling membanggakan dalam karier saya setakat ini.

"Ia adalah satu penghormatan terbesar dalam bola sepak kelab. Saya telah melakukan segala yang saya mampu untuk membantu United berjaya dalam dan di luar padang.

"Saya akan sentiasa berterima kasih kepada Ole Gunnar Solskjaer kerana memberi saya tanggungjawab itu terlebih dahulu dan saya berharap sesiapa yang kini mengambilnya akan mendapat sokongan penuh saya."

Bruno Fernandes paling kerap dilantik sebagai kapten semasa ketiadaan Maguire musim lalu dan pemain tengah Portugal itu adalah pilihan untuk diberikan peranan tersebut secara sepenuh masa.

Maguire telah membuat lebih 170 penampilan untuk United sejak berpindah dari Leicester dengan harga £80 juta (AS$105 juta, 93 juta euro) pada 2019.

Tetapi dua musim lalu menyaksikan Maguire menjadi bahan jenaka media sosial berikutan beberapa kesilapan berprofil tinggi dalam tugasan United, walaupun dia kekal sebagai pemain tetap England bawah pengurus Gareth Southgate.

Dengan ketibaan pemain Argentina, Lisandro Martinez yang turut menyekat peluang pasukan utamanya di Old Trafford musim lalu, Maguire telah dikaitkan baru-baru ini dengan perpindahan ke West Ham. -AFP


(FOTO TWITTER @HarryMaguire93)

Media Baharu