fb fb fb fb fb

Harimau Malaya daki tiga anak tangga, kini pada ranking ke-135 dunia

FOTO FB Football Association of Malaysia

KUALA LUMPUR, 20 Jun- Kemas kini terbaharu ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hari ini menunjukkan skuad Harimau Malaya melonjak tiga anak tangga untuk menduduki tempat ke-135 dunia.

Pasukan kebangsaan kendalian Kim Pan Gon memperoleh tambahan 13.04 mata untuk mengumpul keseluruhan 1,107.58 mata, sekali gus meningkat daripada posisi ke-138 dunia yang dihuni sejak 4 April lepas.

Peningkatan terkini itu dicapai susulan pencapaian Malaysia dalam saingan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan masing-masing seri 1-1 dengan Kyrgyzstan dan mengatasi Taiwan 3-1, awal bulan ini.

Juara Piala Dunia 2022, Argentina, Perancis dan Belgium mengekalkan kedudukan tiga teratas manakala Brazil memintas England untuk tempat keempat.

Sementara itu, Thailand melangkah ke dalam kelompok 100 terbaik dunia selepas beralih satu langkah daripada kedudukan ke-101, diikuti Vietnam yang turun satu anak tangga kepada 118 manakala Indonesia kekal di tempat ke-134 untuk berada dalam kalangan tiga pasukan terbaik Asia Tenggara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE