fb fb fb fb fb

Harimau Malaya benam 'Gajah Perang' menerusi sepakan penalti

KUALA LUMPUR, 23 September - Skuad Harimau Malaya kendalian jurulatih Kim Pan Gon memalukan skuad 'Gajah Perang', Thailand di laman sendiri selepas menang menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 dalam aksi Kejohanan Piala Raja Thailand, berlangsung di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai malam tadi.

Kejayaan itu membolehkan skuad Kebangsaan membuat perhitungan akhir menentang pasukan ranking ke-109 dunia, Tajikistan.

Pemenang perlawanan yang akan menentukan pasukan mana mara ke saingan akhir terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas aksi 90 minit berakhir 1-1 yang menyaksikan Pansa Hemviboon menjaringkan gol penyamaan Thailand pada penghujung perlawanan selepas La'Vere Corbin-Ong meletakkan Malaysia di depan pada separuh masa pertama.

Kapten pasukan, Dion Cools, Syafiq Ahmad, Matthew Davies, Declan Lambert dan Corbin Ong cemerlang menyempurnakan kesemua tendangan penalti.

Aksi cemerlang penjaga gol negara Ahmad Syihan Hazmi selepas menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya skuad Gajah Perang serta menafikan sepakan penalti pemain sayap Thailand, Supachok Sarachat bagi memastikan skuad negara menang dengan keputusan 5-3.

Pada saingan akhir Piala Raja Thailand yang dijadual berlangsung di venue sama pada Ahad ini, Malaysia akan berdepan Tajikistan yang menewaskan Trinidad & Tobago dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Malaysia pernah menjulang piala berkenaan sebanyak empat kali iaitu pada tahun 1972, 1976, 1977 dan 1978.

Kejayaan skuad kebangsaan malam tadi menyaksikan Thailand terus gagal menamatkan kemarau kemenangan ke atas pasukan negara sejak Disember 2014 selepas turut tewas 0-1 pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 pada Jun tahun lepas.

Media Baharu