fb fb fb fb fb

Hapus doping sebelum senarai semula angkat berat dalam sukan teras - Ahmad Faizal

KUALA LUMPUR, 5 Ogos - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempertimbang untuk menyenarai semula angkat berat dalam sukan teras negara selepas isu doping membabitkan atlet sukan itu diselesaikan, kata Menterinya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata KBS memberi komitmen tinggi bagi memastikan isu doping negara diselesaikan, bagaimanapun penggiat sukan angkat berat juga berperanan penting dalam memastikan para atlet negara tidak lagi terpalit dengan isu berkenaan.

"Atlet angkat berat menunjukkan peningkatan prestasi yang begitu menakjubkan dan tentunya kami akan pertimbang semula untuk menyenaraikannya ke dalam sukan teras.

"Asalkan masalah doping tidak berlaku lagi, selepas itu baru sukan ini  (angkat berat) dimasukkan semula ke dalam senarai sukan teras negara," katanya dalam temu bual eksklusif di Bernama Radio di sini pada Khamis.

Ahmad Faizal berkata KBS turut mempertimbangkan untuk menyenarai semula sepak takraw dalam sukan teras, namun persatuan sepak takraw kebangsaan (Persatuan Sepaktakraw Malaysia dan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia) perlu menyelesaikan kemelut yang dialami mereka.

Angkat berat dan sepak takraw menjadi antara tiga sukan yang digugurkan daripada senarai sukan teras negara selain taekwondo pada 2017 susulan prestasi ketiga-tiga sukan itu yang semakin merosot selain sukan angkat berat berdepan pelbagai masalah disiplin seperti kegagalan beberapa atletnya dalam ujian doping.

(Faizal Azumu ditemu bual secara eksklusif di Bernama Radio pada Khamis/FOTO Facebook Faizal Azumu)

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal optimis kontinjen Malaysia mampu membawa pulang pingat lebih daripada sasaran yang ditetapkan pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan kepada kejayaan skuad angkat berat negara menerusi Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin yang meraih emas pertama dan kedua meskipun kedua badang negara itu tidak menjadi prospek emas di temasya berprestij itu. 

"Ini merupakan emas bonus buat negara dan satu pencapaian yang membanggakan, begitu juga pasukan campuran badminton yang tidak diletakkan sasaran tinggi tetapi berjaya membawa pulang emas walaupun ketiadaan jaguh badminton negara Lee Zii Jia. 

"Saya yakin sekiranya para atlet bebas daripada segala kecederaan, negara mampu mencapai sasaran enam pingat dan mungkin lebih dari enam pingat," katanya. 

Setakat hari keenam temasya dwitahunan itu semalam, Malaysia berjaya mengumpul tiga emas, dua perak dan tiga gangsa. -BERNAMA

Media Baharu